Thursday 12 April 2012

Aaron Aziz Bintang paling Popular sah dapat status penduduk tetap




KUALA LUMPUR – Selepas aktor lelaki, Zed Zaidi melakukan kekecohan dengan mempersoalkan kemenangan besar pelakon Aaron Aziz dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH 2011) yang berlangsung baru-baru ini, ia ternyata memperikan impak besar kepada para peminat buat kedua-dua pelakon lelaki itu.
Dalam blog penulisan Zed Zaidi beberapa hari lepas, Zed Zaidi meluahkan rasa tidak puas hati ekoran pelakon yang bukan rakyat Malaysia diangkat sebagai pilihan untuk menang besar dalam acara anugerah itu.
Malah, Zed Zaidi juga turut mempersoalkan kelayakan Aaron Aziz untuk menjulang trofi sebagai artis paling popular memandangkan Aaron Aziz bukanlah warganegara Malaysia.
Ekoran dari luahan Zed Zaidi, Aaron Aziz tampil memberitahu yang dia sudah pun mendapat taraf Penduduk Tetap daripada kerajaan.
Aaron Aziz juga sedang menunggu masa yang sesuai untuk membuat pengumuman tentang pengesahan pendudukan tetap dan mengambil kad pengenalan MyPRnya.
“Sebenarnya dah diluluskan cuma tunggu untuk diambil”, kata Aaron Aziz seperti dalam portal GUA.com.
Selain itu, penyanyi wanita popular nombor satu Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza juga turut mengulas isu ‘perang’ antara Zed Zaidi dan Aaron Aziz.
Bagi Siti, isu tentang warganegara atau tidak, ia tidak perlu diperbesarkan kerana itu menunjukkan persaingan sihat antara artis-artis yang ada.
“Setahu saya, anugerah ini boleh disertai oleh mana-mana artis yang menyumbang kepada peningkatan industri seni tanah air tanpa mengira kerakyatan. Anugerah ini juga adalah hasil daripada undian peminat-peminat. Dari bermula pemilihan ‘lima terbaik’ sehinggalah keputusan pemenang dibuat.
“Soal kerakyatan tidak perlu jadi isu, kalau kita menitikberatkan sangat pun, sampai bila kita harus berbuat sedemikian kerana dunia seni muzik ini adalah universal. Jika ada artis dari luar negara yang berjaya, jadikan ia sebagai pendorong untuk kita. Artis negara ini perlulah menjadi pesaing yang sihat dengan mempertingkatkan kualiti sendiri,” kata Siti.
admin Web Developer

No comments :

Post a Comment