Showing posts with label cinta. Show all posts
Showing posts with label cinta. Show all posts

Friday, 13 April 2012

Index Cemburu Lelaki Mengikut Horoskop





Rahsia lelaki.
Setiap insan yang dilahirkan pasti mempunyai perasaan cemburu. Tidak kira semasa zaman kanak-kanak, remaja mahupun di kala usia mencecah batas dewasa, perasaan cemburu tetap wujud dalam sanubari manusia. Bagi pasangan yang bercinta, cemburu sentiasa mewarnai hubungan kasih yang disemai bersama.
Cemburu sering dikaitkan dengan kaum Hawa. Percaya atau tidak, lelaki juga mempunyai perasaan cemburu yang terselindung di sebalik egonya. Malah tanpa disedari lelaki zaman ini juga ada kalanya menyimpan perasaan cemburu yang mengatasi kaum perempuan. Jom kita lihat indeks cemburu kaum lelaki menurut bintang kelahiran:-
Aquarius
Lelaki Aquarius biasanya akan menggunakan ayat-ayat yang memerli untuk menunjukkan cemburunya. Jangan ingat dia sedang bergurau. Apabila topik perbualannya hanya tertumpu pada seseorang saja, maka ternyatalah bahawa dia sedang cemburu.
Pisces
Lelaki yang paling mulia dan baik hati, lagi kuat cemburunya. Tak lain dan tak bukan adalah lelaki Pisces. Indeks cemburunya amat memeranjatkan. Kalau kekasihnya menderhaka kepadanya, dia akan menjadi seperti wanita meraung-raung. Air matanya juga akan tenggelamkan anda.
Aries
Lelaki Aries mempunyai sifat diktator secara semulajadi. Selain seorang yang memerintah, dia juga suka mengawal orang lain. Tidak kira dalam apa jua perkara, dia juga berharap menggunakan tenaga dan kuasanya untuk menyelesaikannya. Apabila berhadapan dengan musuh kekasih, dia akan segera mengambil tindakan untuk menyebabkan pihak lawan undur dari mengurat kekasihnnya.
Taurus
Lelaki Taurus adalah lelaki yang peramah dan sangat jujur. Tapi jangan ingat dia tidak tahu cemburu. Dia tidak dapat terima kekasihnya menderhaka kepadanya. sekiranya dia dapat tahu anda keluar makan malam dengan lelaki lain, buatlah persediaan untuk memberi penjelasan kepadanya.
Gemini
Gemini hanya menganggap cemburu itu sebagai satu permainan saja. Dia ialah seorang yang suka bermain-main. Oleh itu, dia paling benci akan cinta secara paksa. Malah dia tidak akan mungkin melepaskan peluang untuk berkenalan dengan wanita lain walaupun sudah memiliki kekasih. Jadi, indeks cemburu lelaki Gemini adalah kurang berbanding dengan lelaki Zodiak lain
Cancer
Secara kebetulan lelaki cancer terbalik dengan lelaki Gemini. Dia tidak akan berjauhan dengan kekasih malah selalu berhimpit dengan kekasih. Ini adalah kerana dia mempunyai perasaan kekosongan dan juga perasaan tidak selamat. ( jangan ingat hanya perempuan saja yang mempunyai perasaan tidak selamat.) Bayangkan kalau kekasihnya meninggalkanya, cemburu pasti akan menghuru-harakan dunia ini.
Leo
Lelaki Leo sangat ego dan juga sangat tabah. Dia tidak akan cemburu kerana perkara yang remeh temeh. Dia tidak akan menyebabkan air muka dirinya jatuh kerana cemburu. Walaupun kekasihnya telah melakukan perkara yang membuatkannya marah, namun dia tetap akan mengekalkan perasaan yang tenang untuk berbincang dengan kekasihnya.
Virgo
Cemburu lelaki Virgo amat memeranjatkan. Lelaki Virgo tidak mempunyai hati yang lapang dan juga pemikiran yang luas. Cemburu telah menjadi perkara biasa dalam kehidupan pasangan ini. Walaupun dia amat mencintai kekasihnya, namun tetap bergaduh besar dengan kekasih kerana cemburu.
Libra
Lelaki Libra mementingkan imejnya yang bertatatertib. Disebabkan cemburu akan menjejaskan imejnya, maka dia rela mengekalkan penampilan yang baik. Sebenarnya dia tidak ingin menimbulkan perselisihan dengan kekasih akibat cemburu yang akan menjejaskan hubungan mereka.
Scorpio
Semakin mendalam cinta terhadap kekasih semakin kuat cemburu. Inilah yang boleh menggambarkan lelaki scorpio. Dia menghormati dan cinta sepenuhnya terhadap kekasih. Tetapi cemburunya juga tidak kurang. Sekiranya kekasihnya menunjukkan sebarang kemusykilan, maka dia akan menunjukkan cemburunya.
Sagitarius
Lelaki Sagitarius juga boleh cemburu. Namun cemburunya datang dengan cepat, pergi juga cepat. Dia selalunya cemburu sebelum mengenal pasti perkara sebenarnya. Apabila mengetahui hal sebenarnya cemburu pun reda. Tapi, apabila dia ada matlamat baru dia akan meninggalkan kekasih yang sering membuatnya cemburu.
Capricorn
Lelaki Capricorn mempunyai sikap yang pesimistik. Dia merasa rendah diri di dalam kehidupan. Apabila dia berasa cemburu, dia tidak akan tunjukkan pada kekasihnya sebaliknya akan mengeluarkan ketidakpuasan ini pada tempat lain seperti sukan atau di tempat kerja.

petikan dari:http://www.kedaiwan.com/blog/10/10/index-cemburu-lelaki-mengikut-horoskop/

Hormati ibu bapa kita:Dalam Tawa Senda ada pengajarannya

Ini mungkin hiburan ataupun bahan untuk gelak ketawa..
Tapi dalam bersenda ada pengajaran yang diberi..
Kami di blog haisayang sangat-sangat menyeru semua pembaca menghormati ibu bapa..
Dunia ibarat roda..muda akan tua..susah akan senang..hidup akan mati..
Semoga ibu bapa kita mendapat layanan yang terbaik dari kita dan semoga anak2 yang kita lahir dan didik dapat memberikan kasih sayang yang sepenuhnya bila kita sudah tua..

بسم الله الرحمن الرحيم

Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa. [al-Nisa’ 4:36]

Katakanlah: "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibubapa.” [al-An’aam 6:151]

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. [al-Isra’ 17:23]





  1. Credit to: Karoot Komedia di Astro

Wednesday, 11 April 2012

Benarkah Wanita Memerlukan Lelaki.



Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala. Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?

Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan?
Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan dia, sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo ? Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya. Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki?

Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala anda mahukannya. Jika anda mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api. Tetapi, jika anda bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada anda juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit. Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.

Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia menemani anda sepanjang hayat, membimbing kelakuan anda, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar anda dapat memperdalami selok belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan anda zuriat yang halal lagi dirahmatiNya ? Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.

Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia, menyempurnakan anda. Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, anda, wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.

Kerana apabila anda mempersilakan seorang lelaki duduk di samping anda untuk sepanjang hayat, bererti anda harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu anda. Kerana itu tidak hairan jika anda mendengar ada di kalangan anda, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.

Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia. Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Tetapi jika anda bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Namun itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada .Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada anda, tetapi anda harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua?

Bagi yang sedang bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan famili dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja. Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa. Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa.

Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai. Semoga mereka tak tersalah pilih. Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.

Wanita, anda dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, anda ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga anda mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia. Kerana benih seorang lelaki, anda ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan Tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa. Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, anda wanita, anda ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gaha sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.
Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah, anda terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati ? Untuk dimulia, disayangi dan dicintai.

Andai lelaki itu burung yang terbang, anda adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya. Tetapi kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka anda pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata. anda mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. anda mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga anda tua, rapuh dan mati. Tetapi anda bahagia dalam dakapannya.
Semoga anda semua diketemukan dengan jodoh yang baik.

Petikan dari :http://www.kedaiwan.com/blog/03/26/benarkah-wanita-memerlukan-lelaki/

Cinta VS Nafsu



Apakah perbezaan antara cinta dan nafsu?
Tubuh kita kadangkala boleh menipu kita, menyebabkan kita rasa seolah-olah kita jatuh cinta dengan seseorang itu, walau yang sebenarnya kita cuma meminati si dia.
Apabila kita mula "jatuh cinta", kita rasakan ia seperti cinta sebenar. Cinta memberikan maksud yang lebih mendalam yang biasanya datang dengan perhubungan lebih matang. Memanglah ada kes macam cinta romantik di mana tarikan fizikal berada di kemuncak. Kamu dan pasangan semakin gemar bersentuhan fizikal dan mula bereksperimen dan menjadi lebih ingin tahu mengenai seks. Hormon seks dan kimia dalam otak yang membuatkan kamu rasa begini. Bila ia berlaku, kamu mula merasa dorongan seksual dan mula menjadi obsesi dengan pasangan kamu.
Waktu inilah nafsu mula terasa. Kamu bernafsu bila kamu mula memikirkan untuk terlibat secara seksual dengan seorang yang lain. Nafsu memfokuskan terhadap fizikal dan seks, tidak seperti cinta di mana ia memerlukan komitmen dan keserasian yang mendalam. Apabila nafsu berkurangan, saat inilah ujian cinta sebenar akan bermula. Jika kamu menyayangi seseorang itu, tiada sebab kenapa kamu perlu terburu-buru terlibat secara seksual dengannya.

Berkahwin dengan jejaka idaman kamu



Mencari Jejaka Idaman
Masanya akan tiba bila kamu mula berfikir untuk memulakan keluarga. Tentulah kamu mahukan hanya yang terbaik apabila ia melibatkan perkahwinan. Untuk seorang wanita, berkahwin dengan lelaki budiman yang mencintai dan menghormatinya merupakan satu impian menjadi kenyataan. Sekiranya dia seorang yang mementingkan keluarga dan mampu menanggung keluarganya, pasti tiada apa lagi yang dimahukan oleh wanita itu. Tapi jangan lupa, tiada lelaki yang sempurna. Kadang-kadang seorang wanita itu perlu menerima yang seadanya. Mungkin akan mengambil masa untuk kamu bertemu dengan Jejaka Idaman, tetapi janganlah sekali-kali berputus asa, okay?
Apa yang diidamkan dalam Jejaka Idaman?

Ia mungkin mengambil masa untuk mengenali seseorang. Kita memang ada tanggapan pertama terhadap seseorang itu, tapi biasanya ia tak kekal lama. Ia memerlukan lebih daripada wajah yang kacak atau senyuman yang manis untuk melayakkan jejaka idamanmu menjadi suami seumur hidup. Berikut sedikit tip-tip untuk dijadikan panduan. Selamat mencari!

Kamu tahu yang dia sesuai untuk kamu apabila:
  • Dia menghormati kamu. Dia bukan sahaja menghormati pandangan kamu malah sentiasa hormat terhadap perasaan kamu. Dia menunjukkannya dengan menjadi pendengar yang baik dan sentiasa mengambil berat perasaan kamu.
  • Dia mempunyai pekerjaan yang bagus atau sentiasa berusaha memperbaiki dirinya. Kerja yang bagus dan tetap menunjukkan yang dia bertanggungjawab terhadap masa dan wang. Jika dia kekal lama dalam satu pekerjaan itu, ini menunjukkan yang dia seorang sabar dan tabah.
  • Dia berkomunikasi dengan kamu. Komunikasi di sini bukan setakat berborak semasa makan atau minum kopi ya! Lelaki yang pandai berkomunikasi tahu bagaimana untuk menyampaikan perasaannya tanpa membuatkan dia seolah-olah berlagak atau berfikiran sempit. Dia juga mendengar pendapat kamu dan sentiasa menghargai cadangan. Yang seronoknya, dia juga boleh dibawa berbincang untuk memastikan perhubungan kamu berjaya.
  • Dia pentingkan keluarga dan rakan kamu. Keluarga dan rakan-rakan seorang wanita itu merupakan sebahagian daripada hidupnya. Mereka merupakan sumber kekuatan dan sokongan untuk wanita tersebut. Lelaki yang tepat untuk kamu akan memahami semua ini dan tidak akan menghalang kamu daripada bersama-sama keluarga dan rakanmu.
  • Dia menyokong impian dan matlamat hidup kamu. Matlamat hidup seorang wanita mungkin berbeza, terpulang pada apa yang dia mahu. Mungkin seorang wanita itu mahukan keluarga yang bahagia, menjadi wanita berkerjaya ataupun perniagaan yang maju. Sekarang ni pun wanita semakin berdikari dan berpendidikan tinggi. Lelaki yang tepat seharusnya menggalakkan wanita ini serta menyokongnya dari belakang.
Patutkah saya berkahwin atau kekal bujang?
Perkahwinan melibatkan banyak tanggungjawab. Ia mungkinlah satu benda yang menyeronokkan bila kamu akhirnya berjumpa dengan seseorang yang kamu mahu hidup bersama, selamanya. Kamu perlu ingat yang walaupun kamu bersama, ini tidak bermakna kamu patut berhenti berkembang sebagai individu.
Sama ada untuk berkahwin atau kekal bujang, terpulanglah pada kamu. Wanita kini mempunyai banyak pilihan. Mereka semakin berpelajaran tinggi dan lebih berdikari. Sesetengah wanita mungkin memilih untuk kekal bujang kerana mahu fokus terhadap karier dan matlamat lain. Mereka percaya yang masa untuk melakukan semua itu akan menjadi terhad sekiranya mereka berkeluarga. Untuk sesetengah yang lain, pengalaman pahit yang lepas mungkin membuatkan mereka tawar hati untuk berkahwin.
Walau apapun, hanya kamu yang boleh memutuskan apa yang membuatkan kamu bahagia. Fikir semasak-masaknya dan timbangkan apa yang terbaik dalam hidup. Menetapkan keutamaan kamu pasti akan membantu dalam membuat keputusan.
Berapakah umur terbaik untuk berkahwin?

Perkahwinan melibatkan banyak tanggungjawab. Pasangan berkahwin akan menyedari yang cinta memainkan peranan yang kecil apabila mereka merasai kehidupan sebenar selepas berkahwin. Lebih elok kalau berkahwin apabila kamu sudah cukup matang. Untuk menjadi cukup matang, ia bermakna yang kamu bukan sahaja perlu matang secara seksual malahan emosi dan mental. Tubuh kita mencapai kematangan seksual sekitar lewat remaja. Ini tak bermakna yang kamu dah boleh berkahwin bila kamu berumur 18 atau 19. Memanglah boleh, tapi, jadilah lebih bertanggungjawab dan melihat hidup dari perspektif yang berbeza. Tanyalah diri kamu, jika kamu sudah tamat sekolah, jika kamu mempunyai pekerjaan tetap, jika kamu bersedia untuk berkongsi hidup dengan seseorang yang sangat berbeza dengan kamu, jika kamu bersedia untuk lebih bertanggungjawab dengan membayar sewa dan bil, dan jika kamu dah sedia untuk menjaga anak-anak. Hanya bila kamu dah bersedia sepenuhnya barulah kamu patut berfikir mengenai perkahwinan.

Cinta: Sains & Tanda-tanda



Cinta: Sains & Tanda-tanda

Bila kamu tertarik pada seseorang, kamu mula menunjukkan tanda-tanda yang kamu menyukainya. Ini bermakna terdapat sesuatu pada dirinya yang berjaya menarik perhatian kamu, seperti lirikan matanya atau senyumannya yang menggoda. Kamu juga mungkin menyukai seseorang yang lebih tua atau muda berbanding kamu. Tidak mengapa. Semua orang melalui perasaan menyukai seseorang dan disukai semula.





Jatuh Cinta Sebenarnya Tindak Balas Kimia

Tergila-gilakan seseorang biasanya berhubung kait dengan cinta romantik. Inilah jenis cinta yang membuatkan kamu menulis puisi cinta dan melakukan benda-benda bodoh seperti berjaga sepanjang malam mendengar lagu-lagu cinta. Perasaan dan emosi ketika ini sangatlah nikmat sehinggakan kamu merasakan seperti "jatuh cinta".


Apabila kamu mula "jatuh cinta", kamu biasanya mula tergila-gilakan si dia. Masa inilah, kamu mungkin berasa yang kamu boleh lakukan apa saja untuk si dia. Kamu mahu perasaan ini kekal selamanya dan kamu memang percaya yang ia akan kekal.

Perasaan diawang-awangan yang kamu alami ini boleh dijelaskan dengan bahan kimia yang dibebaskan oleh otak. Oh, mungkin bunyinya tak begitu romantik tapi yang sebenarnya otak kamulah yang menjadi pusat perasaan dan emosi kamu, bukannya hati. Otak tu nampak macam tak berapa menarik. Yelah, rupanya pun macam kobis bunga kering berwarna kelabu yang terapung-apung dalam kepala kamu. Cuba fikir. Walaupun ia tak secantik hati merah yang berdegup, otak kamu sebenarnya menghantar signal ke badan kamu membuatkan kamu merasa perasaan teruja dan pahit manis dilambung cinta.

Bahan kimia dalam otak boleh menerangkan perlakuan kita sebaik sahaja kita jatuh cinta. Bahan kimia ini bergerak ke bahagian-bahagian otak yang berkait dengan emosi dan memori kita:

Dopamin kata saya gilakan kamu Dalam tempoh beberapa bulan pertama kamu tertarik pada seseorang, satu bahagian otak kamu membebaskan bahan kimia ini. Sejumlah kecil bahan kimia ini akan memberikan kamu perasaan di awang-awangan ketika dilamun cinta. Ia mungkin boleh menyebabkan kamu berjaga sepanjang malam memikirkan perkara-perkara romantik. Dengan dopamin, kamu pun mula rasa tak berselera. Kamu ponteng makan, rasa lapar tapi kamu tetap gembira dan sedikit gila walaupun perut kosong. Dopamin juga membuatkan kamu rasa bertenaga, dan boleh buat apa saja. Ia memang satu bahan kimia yang menakjubkan. Ia membuktikan perkataan seperti "asyik bercinta" memang wujud.
Serotonin kata saya terlalu menggilai kamu Tahap rendah bahan kimia ini dalam otak merupakan sebab kenapa kamu terlalu memikirkan seseorang itu apabila kamu bercinta. Tahap serotonin yang rendah boleh membuatkan kamu asyik terfikir mengenainya. Seperti mengekorinya ke perpustakaan tanpa pengetahuan, mungkin merupakan aktiviti harian kamu. Pada kamu, kamu berkelakukan macam biasa kerana tahap serotonin yang rendah yang menguasai tindakan kamu. Bila kamu beritahu rakan yang kamu asyik teringatkan dia 24 jam, sebenarnya itulah tahap rendah serotonin yang menguasai kamu.
Oksitosin kata saya akan kekal dengan kamu Sekarang kamu mungkin dah pun berada dalam hubungan sebenar dan semakin cinta kamu berkembang, kamu mula berfikir yang kamu tak dapat nak bayangkan kehidupan tanpa si dia. Kamu semakin terikat dengannya. Ke mana saja dia pergi, kamu pun ada. Masa inilah bahan kimia oksitosin bertindak. Ia merupakan kimia yang dibebaskan oleh otak di mana tahap gila bayang kamu semakin berkurang dan kamu mula menjalin hubungan yang serius.


Tanda-tanda yang kamu dah mula gila bayang:
Kamu mula teringat pada si dia lebih kerap daripada biasa. Seolah-olah gambaran wajahnya melekat pada minda kamu.
Tidur kamu jadi tak lena. Dialah orang terakhir dalam fikiran kamu dan orang pertama yang menjelma dalam kotak fikiranmu, bila kamu bangun tidur.
Selera makan kamu tiba-tiba berkurangan. Makanan kegemaran kamu pun jadi tak sedap.
Kamu selalu teruja nak berjumpa dengannya. Bila fikir mengenainya saja dah cukup untuk buat kamu rasa gembira dan cukup bertenaga.
Kamu mula mengekorinya, menyimpan jadual waktunya dan mula mendapatkan nombor telefon si dia… semua secara rahsia.
Tiba-tiba saja kamu jadi pakar dalam puisi cinta dan lagu cinta. Kamu mula menyukai filem romantik walaupun selama ini filem sainslah satu-satunya fiksyen yang kamu tonton seumur hidup.

Adakah dia tertarik pada saya? Berikut beberapa tanda yang mungkin menandakan dia perasan kehadiran kamu:
Dia memulakan perbualan. Seorang lelaki mungkin tunjukkan yang dia menyukai kamu dengan memulakan perbualan. Dia mungkin menunjukkan minat mendalam dengan bertanya macam mana hari kamu dan bertanya pendapat kamu mengenai sesuatu perkata.
Dia mula meluangkan lebih masa dengan kamu. Dia mula mengajak kamu untuk minum kopi atau makan tengahari. Kamu akan tahu yang hubungan kamu mula berputik bila dia makin kerap mengajak kamu.
Dia berkongsi rahsia dengan kamu. Ramai lelaki yang tak suka bercakap mengenai diri mereka. Jadi bila dia dah mula kongsi perasaanya, atau bawa kamu ke tempat-tempat sunyi yang biasa dia pergi seorang diri, ini mungkin bermakna yang dia sukakan kamu.
Dia mula menjadi seorang 'gentleman' dengan membawa buku kamu dan menarik kerusi kamu. Ia mungkin bermula dengan benda-benda ringkas yang mudah. Sekiranya kamu memang tak menjangkakan benda-benda begini dan ia lebih kerap berlaku, kemungkinan besar si dia menyukai kamu.
Kamu mula terserempak dengannya di tempat yang kamu tak sangkakan. Tiba-tiba je dia pun turut serta dalam kelas yoga kamu walaupun sebelum ni dia tak pernah menyukai yoga.
Hmm yang peliknya dia mula mengelak untuk berjumpa kamu. Sesetengah lelaki memang pemalu. Bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk mereka kelihatan seperti tak menyukai kamu tapi yang sebenarnya si dia tengah berdebar-debar. Lelaki pun kadangkala takutkan perasaan mereka. Jadi, janganlah kecewa bila ia terjadi. Ia mungkin akan ambil masa untuk si dia menyedari perasaannya terhadapmu.


Cinta pandang pertama. Wujud ke?
Cinta pandang pertama mungkin berlaku terhadap sesetengah orang. Ia mungkin tarikan serta-merta yang dirasai sebaik sahaja seseorang itu terlihatkan orang yang lain. Ia juga mungkin berlaku beberapa kali dalam hidup. Walau bagaimanapun, hanya beberapa tarikan serta-merta ini berkembang menjadi hubungan percintaan. Ada yang akan jatuh cinta apabila orang yang mereka temui itu kelihatan seperti selebriti yang mereka minati. Personaliti atau bakat seseorang juga boleh menjadi tarikan kali pertama mereka berjumpa. Namun begitu, kamu patut tahu yang mencintai seseorang itu tidak bermula pada pertama kalinya. Mungkin ia akan nampak begitu kerana tubuh dan otak kita bertindak balas terhadap perjumpaan pertama tersebut. Bahagian awal tarikan mungkin merupakan kegilaan dan bukannya cinta. Apabila kamu semakin matang dan mula berada dalam perhubungan, kamu mula sedar yang cinta hadir dengan komunikasi yang bagus dan tanggungjawab yang besar. Jadi nikmatilah kehidupan dan cuba untuk belajar satu benda pada satu masa. Belajar dari ibu bapa ataupun rakan kamu. Pengalaman mereka boleh mengajar kamu pelbagai benda mengenai perhubungan.