Oleh RADIAH SAORI
BADMINTON tidak pernah menghampakan.
Ketika sukan lain terkapai-kapai mencari rentak, sukan ini terus menawan dunia.
Sejak dulu, sukan ini terus mengekalkan reputasinya sebagai acara paling banyak menghadiahkan kejayaan kepada negara di peringkat antarabangsa.
Malah, badminton juga merupakan satu-satunya sukan yang berjaya menyumbang pingat negara pada temasya Sukan Olimpik.
Pasangan adik-beradik, Razif dan Jalani Sidek merupakan penyumbang pingat pertama negara pada Sukan Olimpik apabila meraih gangsa pada temasya di Barcelona pada tahun 1992.
Kejayaan tersebut diperbaiki pada Sukan Olimpik 1996 di Atlanta apabila Malaysia memperoleh satu pingat perak melalui Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock serta satu pingat gangsa melalui pemain perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek.
Tahun lepas jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei menghadiahkan pingat perak selepas tewas kepada pemain China, Lin Dan pada perlawanan akhir di Beijing.
Justeru, memang tidak salah jika badminton masih lagi menjadi taruhan terbaik negara pada Sukan Olimpik 2012 di London kelak.
Malah, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan sukan badminton selain memanah dan lumba basikal akan menjadi fokus utama negara pada ketika ini dan akan diberi bantuan sepenuhnya dalam memastikan pemain negara dapat menjalani persediaan yang paling sempurna.
Namun, sedar atau tidak, harapan besar yang diletakkan ke atas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ini sudah pasti memberikan tekanan kepada persatuan tersebut, jurulatih serta pemain sendiri.
Ia diakui presiden BAM, Datuk Nadzmi Salleh yang menganggap ia sebagai satu tanggungjawab berat yang harus dipikul.
"Badminton menjadi harapan utama negara untuk meraih emas pada Sukan Olimpik London 2012 dan sudah tentu ia merupakan satu tanggungjawab yang besar buat kami (BAM)," kata Nadzmi.
"Begitupun, BAM tetap berbangga kerana badminton dianggap sebagai salah satu sukan yang berpotensi untuk memenangi pingat di peringkat tertinggi seperti Olimpik dan kami akan melakukan apa yang terdaya untuk tidak menghampakan harapan rakyat Malaysia.
"Kami sedar, selain Malaysia, negara-negara lain juga turut membuat persediaan yang lebih rapi menjelang Sukan Olimpik London 2012.
"Malah, terdapat ura-ura yang mengatakan negara tuan rumah, Britain juga meletakkan sasaran untuk meraih pingat dalam sukan badminton."
Sebenarnya, Britain bukanlah halangan utama negara dalam sukan ini.
Pada ketika ini, harapan terbaik tuan rumah terletak di bahu pemain perseorangan lelaki No. 21 dunia, Andrew Smith serta dua beregu lelaki mereka iaitu Eidestedt Richard-Ellis Andrew dan Adcock Chris-Blair Robert yang masing-masing berada pada ranking ke-21 dan 22.
Musuh utama negara sudah pasti pemain-pemain dari China, Indonesia, Korea Selatan dan juga Denmark.
Sepanjang temasya Sukan Olimpik sehingga yang terakhir di Beijing tahun lepas, China merupakan pemenang pingat emas terbanyak dalam sukan badminton apabila memperoleh 11 pingat emas, enam perak dan 13 gangsa diikuti Korea Selatan (6-7-4) dan Indonesia (6-6-6).
Malaysia pula sekadar di tempat kelima dengan dua perak dan dua gangsa di belakang Denmark yang meraih satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa.
Meskipun masih terlalu awal untuk membuat ramalan, temasya Sukan Olimpik 2012 di London pasti sekali lagi menyaksikan persaingan sengit antara kelima-lima negara ini walaupun tidak dinafikan pemain negara-negara lain juga berpeluang untuk melakukan kejutan.
Pada ketika ini, harapan utama negara untuk menambah pingat Sukan Olimpik melalui sukan badminton atau lebih baik, menghadiahkan pingat emas pertama negara sudah tentu terletak di bahu Chong Wei selain melalui acara beregu lelaki yang digalas oleh juara Seluruh England 2007, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong ataupun Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari.
Selain itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga turut menyenaraikan ratu badminton negara, Wong Mew Choo serta beregu wanita No. 1 negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui sebagai prospek meraih pingat di London.
Meskipun mengakui, senarai yang dikeluarkan ini mungkin akan berubah berdasarkan prestasi semasa pemain, Nadzmi tetap menegaskan persiapan yang rapi terhadap semua pemain ini telah mula dilakukan sejak tahun lepas tanpa mengabaikan pemain-pemain pelapis elit yang lain.
"Persiapan untuk ke Sukan Olimpik 2012 di London sudah lama bermula," tambah Nadzmi.
"Memang semua yang kami lakukan kini menjurus kepada temasya tersebut. Persiapan bermula apabila kita membentuk struktur untuk kejurulatihan pada hujung tahun lepas.
"Apa yang penting pada ketika ini ialah pelaksanaan yang rapi dan terancang. Selain itu, pemantauan juga akan dilakukan dari masa ke semasa bukan sahaja terhadap pemain-pemain yang disenaraikan tetapi juga kepada semua pemain-pemain lain terutamanya pemain-pemain remaja.
"Saya tegaskan, pemain yang disenaraikan pada ketika ini sebenarnya masih belum muktamad dan tidak mustahil ia akan diubah."
Nadzmi juga menjelaskan, sememangnya pada ketika ini hanya Chong Wei saja yang dilihat sebagai pemain paling konsisten.
Begitupun, menurutnya, tidak mustahil dalam tempoh empat tahun ini, pemain-pemain muda pada ketika ini akan menunjukkan prestasi lebih cemerlang sekiranya mengikut program yang telah ditetapkan.
"Dalam tempoh empat tahun ini, setiap pemain terutama pemain-pemain muda akan diberi sasaran untuk mereka capai.
"Pelbagai program juga akan dilaksanakan bagi membantu pemain-pemain tersebut mencapai sasaran yang ditetapkan.
"Selain itu, mereka juga akan diberi pendedahan yang mencukupi melalui kejohanan-kejohanan antarabangsa yang tertentu.
"Kita akan bekerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN) untuk memastikan aspek mental diberi keutamaan.
"Saya sebenarnya ingin berterima kasih kepada KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) atas sokongan yang diberikan seperti kewangan, pentadbiran dan sains sukan.
"Saya berharap dengan bantuan yang serba lengkap ini, pemain kita akan berada pada tahap terbaik setiap masa.
"Apa yang pasti, program yang kami rancang adalah untuk menghadiahkan kejayaan kepada negara."
Sementara itu, Setiausaha BAM, Ganga Rao pula memberitahu, Malaysia sebenarnya tidak ketandusan pemain memandangkan ramai pemain remaja yang mampu menguasai pentas antarabangsa.
Gandingan Lim Khim Wah-Ng Hui Lin meraih pingat emas beregu campuran pada Kejohanan Remaja Dunia 2007 di Auckland, New Zealand manakala tahun lepas pula, Malaysia meraih satu pingat emas dalam acara beregu lelaki pada kejohanan di India melalui gandingan Mak Hee Chun-Teo Kok Siang.
"Malaysia sebenarnya memiliki pemain-pemain pelapis yang berpotensi untuk menggegarkan dunia dan mungkin juga pengganti pemain-pemain elit sedia ada pada temasya Sukan Olimpik di London," kata Ganga.
"Kita memiliki perseorangan lelaki seperti Mohd. Arif Abdul Latif, Liew Darren dan Chong Wei Feng.
"Meskipun masih belum konsisten, mereka juga mampu untuk membuat kejutan dan jika diberi latihan yang betul, mereka pasti mampu menggantikan pemain elit sedia ada."
Walau bagaimanapun tanggapan orang ramai terhadap sukan ini dan walau apa rancangan yang telah dan akan dilaksanakan, badminton akan sentiasa menjadi harapan utama dan penyelamat maruah negara pada temasya Sukan Olimpik.
No comments :
Post a Comment