Wednesday, 4 April 2012

Diet Untuk Kehamilan



Apabila memperkatakan tentang diet, harus diingatkan bahawa diet yang seimbang ialah diet yang sihat. Ini tidak bermakna anda harus kurangkan pengambilan makanan kerana ingin menurunkan berat badan tetapi anda harus tahu apa yang anda makan samada ianya sihat atau tidak. Di sini dilampirkan beberapa cara untuk mendapatkan diet yang sihat untuk memudahkan anda untuk hamil. Anda boleh mulakannya hari ini.


Kurangkan pengambilan kafein

Elakkan dari kerap minum kopi. Kajian yang dijalankan oleh Leondires menunjunkkan kafein menyempitkan saluran darah, memperlahankan peredaran darah ke uterus dan berpotensi untuk menyukarkan ovum untuk melekat di dinding rahim. Jika anda seorang penggemar kopi, anda bolehlah memulakan cara baru dengan mengurangkan kandungan kopi yang diambil dengan melebihkan susu berprotein. Ini secara tidak langsung dapat membantu anda menambahkan kalsium di dalam badan. Jika anda terus berhenti secara mengejut dari mengambil kafein, anda mungkin akan berhadapan dengan masalah sakit kepala.

Kawal pengambilan karbohidrat

Tidak bermakna anda harus mengurangkan pengambilan nasi, roti atau pasta. Tetapi anda harus mengambilnya dalam kadar yang berpatutan.

Jika anda mempunyai PCOS (polycystic ovary syndrome) yang merupakan salah satu faktor biasa yang menyukarkan wanita untuk hamil, anda perlu mengambil berat tentang makanan yang terdiri dari bijiran. PCOS ialah hormone yang tidak seimbang yang mungkin bertambah teruk jika tahap insulin dalam darah tidak stabil. Penyebab utama di sebalik insulin yang banyak ialah dari pengambilan karbohidrat. Pakar kesuburan Leondires menyatakan apabila wanita yang mempunyai PCOS makan banyak kandungan karbohidrat, insulin yang mengalir dalam darah akan menyebabkan berlaku proses pengovulan yang tidak normal.

Banyakkan pengambilan pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan.

Sayuran dan buah-buahan bukan sahaja kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral, ia juga merupakan membekalkan phytochemical dan anti-oksidan. Alam sekeliling yang sememangnya terdedah dengan pelbagai molekul halus dari cahaya matahari sehinggalah ke asap kenderaan boleh merosakkan penghasilan sperma, ovum dan sistem reproduktif yang sihat.

Dapatkan sayuran dan buah-buahan yang terdiri daripada pelbagai warna seperti beri biru, capsicum dan strawberi. Semakin banyak campuran warna asli dari buah-buahan dan sayuran yang anda ambil, semakin banyak nutrient yang anda dapat. Lebihkan pengambilan sayuran dan buah-buahan dalam diet harian anda.


Jadilah cerewet apabila ingin makan ikan

Badan anda memerlukan lemak asid omega-3 untuk membantu menyuburkan sistem peranakan dan ikan ialah salah satu sumber yang terbaik. Tetapi anda harus berhati-hati kerana bukan semua ikan boleh dimakan kerana sesetengahnya mengandungi kandungan mercury yang tinggi dan ini adalah perkara yang harus dielakkan oleh ibu hamil. Merkuri adalah sangat berbahaya kepada fetus yang sedang membesar dan ianya boleh kekal aktif dalam tubuh seorang wanita lebih dari satu tahun.

Namun begitu, anda tidak perlu risau kerana bukan semua ikan mempunyai kandungan merkuri. Wanita yang ingin hamil bolehlah makan ikan keli, udang, tuna, salmon.

Walaupun kadangkala anda tidak begitu mengambil berat tentang makanan laut, tetapi sumber omega-3 adalah sangat penting untuk perkembangan otak bayi dan proses tumbesaran mata. Ianya rendah lemah dan kaya dengan protein, vitamin D dan beberapa nutrient penting untuk membantu bayi anda membesar dan melalui tempoh kehamilan yang sihat.

Badan anda mampu menyimpan omega-3 untuk beberapa minggu, jadi ia adalah satu idea yang bagus untuk menyediakan badan anda dalam keadaan yang sihat sebelum anda hamil.

Yang paling penting ialah banyakkan mengambil ikan yang segar dan elakkan makanan laut yang telah pun ditinkan.

Banyakkan zat besi dalam badan

Banyakkan badan anda dengan zat besi sebelum anda hamil terutamanya jika anda melalui tempoh haid yang banyak dan panjang.

Banyakkan makan daging merah atau sayuran yang kaya dengan zat besi yang boleh membekalkan darah seperti bayam. Untuk yang terbaik, dapatkan nasihat kesihatan dari doktor peribadi anda dan jalani ujian darah untuk anemia. Pastikan tubuh anda sihat dan cergas sebelum anda bersedia untuk hamil.

Bagaimana pula dengan diet suami?

Nutrisi mempunyai potensi yang besar untuk menghasilkan sperma yang subur. Pelbagai kajian telah menunjukkan cara pemakanan yang tidak teratur dan pengambilan alcohol boleh mengurangkan kualiti dan kuantiti penghasilan sperma dan menyukarkan seseorang wanita untuk hamil. Hampir 40 % kesukaran untuk hamil berpunca dari lelaki – jadi tukarlah diet anda kepada diet yang lebih sihat.

Perlu diingatkan anda juga harus menetapkan pengambilan kopi hanyalah secawan atau dua cawan sahaja dalam sehari. Ini kerana beberapa kajian telah mendapati kafein merupakan salah satu sebab lelaki mandul.



Apakah nutrient yang paling penting untuk bakal bapa?

Diet harian anda hendaklah seimbang dan terdiri dari pelbagai jenis sayuran dan buah-buahan

Banyakkan mengambil makanan yang kaya dengan vitamin C dan yang mengandungi antioksidan. Nutrien ini dapat membantu mengelakkan sperma dari cacat dan membantu meningkatkan tahap motiliti nya. (pergerakan). Segelas jus oren segar yang mengandungi 124 mg vitamin C sudah mencukupi dalam sehari. Sekiranya anda seorang perokok, minumlah lebih dari segelas jus oren segar.

Dapatkan zinc yang cukup. Beberapa kajian menunjukkan walaupun hanya kekurangan sedikit zinc boleh mengurangkan kualiti air mani dan menurunkan level testosterone. Cara yang terbaik ialah dengan mengambil makanan laut seperti tiram, kerang dan daging lembu.

Tambahkan kalsium dan vitamin D. Dengan minum banyak susu dan yogurt dapat membantu anda untuk meningkatkan kesuburan kelelakian anda.

Tips untuk mudah hamil

Lebihkan mengambil makanan yang mengandungi sumber protein seperti telur, ikan, soya dan makanan tenusu.

Elakkan mengambil makanan yang agak tajam seperti nenas, tapai, tembikai, air tebu, rebung, air kelapa, minuman beralkohol, ubi kayu atau minuman berkarbonat sewaktu mengikuti program kehamilan.

Elakkan daripada tekanan atau stress.

Niatkan dan berdoa setiap kali bersama pasangan agar dipermudahkan kehamilan.
admin Web Developer

No comments :

Post a Comment